Menteri Besar Incorporated (Perak) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Sekolah Kebangsaan Marian Convent, Ipoh yang mencatatkan sejarah sebagai sekolah pertama dalam Program Eco-Schools Perak Kohort 2 meraih pengiktirafan Green Flag Award.
SK Marian Convent telah menjalani audit menyeluruh terhadap pelaksanaan 7 langkah utama Program Eco-Schools serta membentangkan pelbagai projek bertemakan kelestarian alam sekitar kepada panel juruaudit, sekaligus membina kesedaran holistik dalam memelihara alam sekitar dalam kalangan pentadbir, guru dan pelajar.
Turut hadir ialah Presiden E Ijau Millennium Explorer, Encik Mohd Fikri Mohd Basri; Pensyarah Kanan UiTM Kampus Sri Iskandar, Ts. Dr. Ahmad Haqqi Nazali Abdul Razak; Guru Besar SK Marian Convent, Puan Hindon Wahid; serta Puan Zaharatul Nazihah Azizul selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Sebagai agensi rakan strategik yang menggerakkan Program Eco-Schools Perak, MB Inc. Perak kekal komited memperkukuhkan ekosistem pendidikan kelestarian menerusi pelaksanaan pengauditan Green Flag di bawah kerangka Program Eco-Schools Malaysia.
Kejayaan gemilang ini diharap menjadi inspirasi kepada 30 buah sekolah Kohort 2 yang lain di negeri Perak mahupun seluruh institusi pendidikan di Perak untuk terus menyahut seruan memartabatkan agenda kelestarian dan pembangunan mampan.