DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Tuanku ke-69.
Turut mengiringi keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku ialah DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ahli-Ahli Dewan Negara; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Majlis penuh istiadat tersebut dimulakan dengan ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak Raja-Raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, diikuti ucapan tahniah dan taat setia oleh YAB Menteri Besar Perak mewakili kerajaan dan rakyat jelata; sebelum disempurnakan dengan Titah DYMM Tuanku.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Duli, diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Perak kepada 30 penerima terpilih, dengan Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar mendahului senarai penerima dengan pengurniaan Darjah Dato' Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) yang membawa gelaran Dato' Seri.
Sementara itu, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid menerima pengurniaan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato' Seri.
Manakala dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak iaitu YB Encik Sivanesan A/L Achalingam dan YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah turut menerima pengiktirafan menerusi pengurniaan Darjah Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato'.
Semoga penganugerahan ini bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan terhadap jasa dan bakti yang telah dicurahkan, malah menjadi amanah suci yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, integriti dan keazaman demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kemakmuran berterusan negeri Perak.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar