DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) 2025 di Dewan Bankuet, Aras G, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri bin Abu Bakar; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan.
Sambutan tahun ini yang mengangkat tema "Integriti Teras Kesejahteraan Negara" merupakan ikrar teguh negara dalam memperkukuh tatakelola baik, membanteras rasuah, serta memupuk nilai amanah dan tanggungjawab sebagai teras kepada kesejahteraan dan kemakmuran sejagat.
Dalam titah DYMM Tuanku, Baginda menegaskan bahawa membudayakan integriti bukan sekadar memperkenalkan dasar atau slogan, sebaliknya menuntut transformasi minda dan sikap melalui pendidikan berterusan, penghayatan mendalam, keberanian mengakui kesilapan, keterbukaan menerima teguran, dan keteladanan kepimpinan yang jitu.
"Maka setiap insan yang memegang amanah sama ada di sektor awam, swasta, politik, institusi agama, badan sukarela, kebajikan mahupun sukan, hendaklah menjadikan sejarah sebagai guru," tegas Baginda.
Titah DYMM Tuanku ini menjadi pedoman kepada seluruh rakyat dalam menyuburkan nilai integriti di setiap aspek kehidupan, kerana hanya dengan keteguhan memperjuangkan integriti, kedaulatan negara akan kekal terpelihara, martabat bangsa akan terus terjulang, dan cita-cita membina negara yang makmur, sejahtera dan dihormati akan tercapai.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak