Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (Perak), telah menjalani audit keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara menyeluruh di premis makmalnya, baru-baru ini.
Pemeriksaan yang dikendalikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ini dilaksanakan bagi menilai tahap pematuhan TML terhadap peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
Hadir sama, pegawai bertauliah JKKP, Puan Asmah Laili Sapihie dan Puan Nurhaliza Azman; serta Ts. Haji Zul Helmi Ghazali selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Pemeriksaan komprehensif ini merangkumi penelitian terhadap aspek fizikal premis, prosedur operasi standard, serta amalan keselamatan yang diamalkan di seluruh kompleks makmal.
Semakan ini juga merangkumi audit sistem pengurusan risiko, rekod latihan keselamatan pekerja, prosedur kecemasan, serta laporan insiden dan langkah pembetulan yang telah diambil.
Menerusi pemeriksaan ini, TML bukan sahaja membuktikan pematuhan terhadap kehendak perundangan, malah turut mengukuhkan budaya keselamatan yang menjadi teras operasi syarikat.