Menteri Besar Incorporated (Perak) selaku peneraju industri mineral negeri telah menyertai Malaysia Mining and Mineral Resources Conference (M3RC) 2025 dengan fokus khas kepada mineral strategik dan kritikal yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2025 di Renaissance Convention Centre, Kuala Lumpur.
Persidangan berkenaan bertujuan meneliti dan meneroka cabaran serta isu utama dalam industri mineral, khususnya usaha menarik pelaburan sepanjang rantaian nilai dan bekalan menerusi perkongsian strategik bersama semua pihak berkepentingan di peringkat persekutuan, negeri dan industri.
Selaras dengan tema persidangan dan Pelan Transformasi Industri Mineral (TIM) 2021-2030, lima mineral utama telah dikelaskan sebagai mineral strategik dan teknologi, iaitu unsur nadir bumi (REE), timah, bauksit, kaolin dan pasir silika.
Persidangan yang dianjurkan oleh Malaysian Chamber of Mines dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia (NRES) menyasarkan agar mineral-mineral tersebut dibangunkan secara bertanggungjawab dan digunakan secara mampan bagi meningkatkan sumbangan signifikan kepada pendapatan negara.
Pada persidangan yang sama, MB Inc. Perak melalui anak syarikat milik penuhnya, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), turut mengambil bahagian aktif dengan menyediakan reruai pameran bagi berkongsi kepakaran dalam perkhidmatan analisis kandungan mineral khususnya REE serta memperkenalkan pelbagai produk, perkhidmatan dan teknologi lain yang berkaitan.