DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 bertempat di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Majlis dimulakan dengan upacara perarakan masuk panji dan kawalan kehormatan utama yang diiringi oleh pasukan pancaragam KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Seterusnya, DYMM Tuanku berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada tiga orang pegawai kanan dan 102 orang pegawai rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis diteruskan dengan deklamasi sajak berjudul ‘Darah Perwira Di Tanah Merdeka’ yang disampaikan dengan penuh penghayatan oleh Leftenan Hadzeri Julai dari Rejimen 503 Askar Wataniah dan Koperal Nurul Syuhada Azmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Menteri Besar Incorporated (Perak) menzahirkan penghargaan yang mendalam terhadap segala jasa bakti dan pengorbanan mulia para pahlawan negara yang menjadi tonggak utama dalam menjamin keamanan, kedaulatan serta keharmonian tanah air tercinta.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak