DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023/2024.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Khairudin bin Abu Hanipah.
Majlis turut dihadiri, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini mengangkat martabat majlis penganugerahan yang bertujuan meraikan dan mengiktiraf sumbangan cemerlang para atlet, jurulatih dan penggiat sukan yang telah berjaya mengharumkan nama negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar Incorporated (Perak) selaku rakan strategik pasukan sepak takraw negeri Perak dengan bangga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pasukan Sepak Takraw Perak Bison atas penganugerahan Pasukan Terbaik Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023/2024.
Seterusnya, MB Inc. Perak turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR), YBhg. Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Sukan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023/2024.
MB Inc. Perak berharap pencapaian cemerlang para atlet, jurulatih dan penggiat sukan ini akan terus menjadi inspirasi kepada generasi masa depan untuk gigih berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan, sekaligus terus mengangkat martabat sukan Malaysia di persada dunia.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak