Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Unit Teknologi Maklumat telah menganjurkan program latihan “Mastering AI Tools for Productivity & Innovation” kepada warga kerjanya di MH Hotels Ipoh, baru-baru ini.
Program intensif selama dua hari yang berlangsung dari 28 hingga 29 Julai 2025 ini bertujuan memperkasa pengetahuan dan kemahiran warga kerja dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), selaras dengan gelombang transformasi digital global.
Sepanjang program tersebut, peserta didedahkan kepada pelbagai modul interaktif yang komprehensif, merangkumi pengenalan sejarah dan kategori AI, Machine Learning, Deep Learning & Natural Language Processing (NLP), serta ekosistem alat AI untuk penggunaan yang lebih berkesan.
Program ini turut menyeluruh dengan merangkumi penggunaan AI dalam aplikasi produktiviti harian seperti Google Workspace dan Microsoft 365 Copilot. Peserta juga dilatih dalam teknik penghasilan kandungan media menggunakan platform AI visual, di samping menerima pencerahan mengenai etika dan dasar penggunaan AI yang bertanggungjawab.
Melalui inisiatif progresif ini, diharapkan tahap literasi AI dalam kalangan warga kerja dapat ditingkatkan secara signifikan sambil menggalakkan pemikiran inovatif dalam penerapan teknologi canggih di persekitaran kerja.