Kerajaan Negeri Perak hari ini meneruskan tanggungjawabnya dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat melalui penyerahan Lori Jualan Sejahtera Rakyat oleh Menteri Besar Incorporated (Perak) kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) di Dewan Al-Abqari, MRSM Lenggong.
Majlis ini disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, yang menyaksikan penyerahan simbolik mock key oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak kepada Ketua Eksekutif YBUDR. Inisiatif ini merupakan bukti jelas komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan yang memerlukan diberikan peluang ekonomi yang mampan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Seiring dengan agenda memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat, Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 4 Tahun 2025 turut diadakan selepas majlis penyerahan. Program strategik ini telah berjaya mewujudkan platform dinamik untuk penduduk Lenggong dan kawasan sekitarnya menyampaikan aspirasi serta permasalahan yang dihadapi secara langsung kepada pihak berkuasa.
Program turut dihadiri, YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan.
Kesinambungan inisiatif-inisiatif sebegini merupakan tunjang kepada pembentukan ekosistem pembangunan yang inklusif dan mampan. Ia selaras dengan wawasan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Perak sebagai sebuah negeri yang progresif, makmur dan mensejahterakan segenap lapisan masyarakat.