Kerajaan Negeri Perak membuktikan keteguhan komitmennya dalam memacu pemulihan dan transformasi sosioekonomi pasca pandemik menerusi Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 yang berlangsung di Dewan Besar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong, hari ini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah membentangkan pencapaian membanggakan yang melakar kejayaan signifikan dalam merealisasikan agenda pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Majlis turut dihadiri, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan; serta barisan pemimpin setempat, pendidik, pelajar, dan masyarakat di Daerah Lenggong.
Daripada 272 projek dan inisiatif strategik yang dirancang, sebanyak 108 projek telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya, manakala 128 projek sedang dalam pelaksanaan dan 36 projek lagi berada di peringkat prapelaksanaan.
Pencapaian signifikan ini turut diperkukuh melalui kejayaan cemerlang Menteri Besar Incorporated (Perak) sebagai peneraju industri mineral negara bagi Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, dan penubuhan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), sebuah industri sokongan NR-REE yang komprehensif, sekaligus meletakkan Perak di barisan hadapan revolusi mineral negara.
Memasuki tahun keempat pelaksanaan, Kerajaan Negeri berazam kukuh untuk mengintensifkan usaha memperkasa lima nod pertumbuhan ekonomi strategik. Seiring dengan itu, eksplorasi ke arah ekonomi masa depan melalui Ekonomi Biru, Ekonomi Hijau, dan Ekonomi Penjagaan bakal menjadi pemangkin baharu yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Pelan Perak Sejahtera 2030 terus menjadi kompas yang memandu perjalanan negeri ke arah mencapai tiga tonggak kejayaan iaitu Sejahtera Politik, Sejahtera Ekonomi, dan Sejahtera Sosial. Dengan tema “Merai Kejayaan, Memperkasa Masa Hadapan”, Kerajaan Negeri yakin dan komited untuk terus mentransformasikan landskap sosioekonomi negeri ke arah kecemerlangan yang berkelanjutan.