DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Pelancaran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR), hari ini.
Keberangkatan DYMM Tuanku diiringi oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Mufti Perak, YBhg. Dato’ Seri Wan Zahidi bin Wan Teh; dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Mohd Annuar bin Zaini.
Majlis turut dihadiri, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
ZAPAR, sebuah anak syarikat milik penuh MAIPk, ditubuhkan sebagai langkah strategik untuk memperkasakan sistem pengurusan zakat di negeri Perak.
Penubuhan ZAPAR menandakan revolusi signifikan dalam transformasi strategik MAIPk sebagai respons proaktif terhadap trend peningkatan kutipan zakat yang berterusan dan tanggungjawab pengurusan yang semakin kompleks.
Inisiatif strategik ini direka khas untuk mengoptimumkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi dengan mengutamakan tatakelola yang cekap, teratur serta berorientasi digital. Ia sekaligus akan memperkukuh peranan institusi Islam selaras dengan arus kontemporari.
Menteri Besar Incorporated (Perak) merakamkan ucapan tahniah setinggi-tingginya kepada MAIPk atas kejayaan penubuhan ZAPAR. Semoga transformasi ini terus membawa manfaat yang ketara kepada golongan asnaf dan muzakki.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak