DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk, hari ini.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Dataran Waterfront yang direka dengan teliti ini menyediakan ruang istimewa bagi para pelancong dan penduduk tempatan untuk menikmati masa berkualiti bersama ahli keluarga, sambil menyaksikan panorama menakjubkan matahari terbenam yang berlatarkan keindahan semula jadi muara Sungai Perak.
Pembangunan dataran ini merangkumi beberapa komponen projek komprehensif yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Antara kemudahan utama yang telah siap dibina termasuklah Terminal Jeti Pelancongan Bagan Datuk, pelbagai kemudahan riadah dan rekreasi yang lengkap, serta program pemuliharaan fasad bangunan kedai-kedai yang mengekalkan warisan seni bina tempatan.
Inisiatif menyeluruh ini bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancongan kawasan berkenaan, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi tempatan melalui peningkatan aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan sambil mengekalkan keindahan serta keaslian persekitaran semulajadi.