DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di Ipoh Town Hall.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzan Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini bukan sekadar meraikan ketaatan kepada perintah Allah SWT, malah turut menjadi wadah untuk memupuk nilai-nilai luhur pengorbanan, kesabaran dan ketaqwaan dalam kalangan umat Islam khususnya, dan masyarakat Perak amnya.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Negeri Perak 2025 ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat untuk terus menjunjung tinggi semangat pengorbanan, perpaduan dan ketaqwaan dalam menghadapi cabaran masa depan, selaras dengan aspirasi membangunkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.