Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui anak syarikat milik penuhnya, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), telah menerima kunjungan hormat daripada UMPSA Advanced Sdn. Bhd. (UMPSA Advanced) yang merupakan anak syarikat milik penuh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), baru-baru ini.
Pertemuan strategik ini diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak berbincang mengenai kerjasama antara sektor korporat dan institusi pengajian tinggi dalam memajukan bidang penyelidikan unsur nadir bumi (REE).
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr. Ahmad Johari bin Mohamad; Pengarah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMaRRT), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Yusri bin Mohd Yunus; Encik Mohd Ridzuan Marsidi dan Ts. Haji Zul Helmi Ghazali, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta barisan wakil pakar akademik UMPSA.
UMPSA Advanced, yang terkenal dengan aktiviti pendidikan sepanjang hayat, latihan kemahiran dan pembangunan komuniti, berhasrat untuk memacu pembangunan komuniti tempatan dan antarabangsa melalui inovasi teknologi mineral termaju yang terdapat di TML.
Kunjungan ini meletakkan asas kukuh bagi kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama komprehensif, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan REE.
Dengan menggabungkan kepakaran akademik UMPSA Advanced dan keupayaan operasi TML, kolaborasi strategik ini dijangka melahirkan transformasi yang berimpak dalam sektor mineral strategik negara.
Perbincangan kondusif antara TML dan UMPSA Advanced ini diharapkan dapat menjadi pemangkin pembangunan modal insan sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor mineral strategik, sekaligus mengukuhkan kedudukan Perak sebagai hab terdepan industri REE di Malaysia.