Menteri Besar Incorporated (Perak) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. (3P), telah melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbangkan bekalan pasir kepada Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Tambun.
Sumbangan ini dibuat sempena program hari sukan sulung sekolah berkenaan, bertujuan menambah baik infrastruktur padang supaya lebih selesa, selamat dan sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan serta kokurikulum pelajar.
Inisiatif ini selaras dengan matlamat memperkasakan institusi pendidikan, khususnya sekolah tahfiz, dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong pembangunan sahsiah dan kecergasan murid secara holistik.
MB Inc. Perak berkomitmen melaksanakan inisiatif sedemikian secara berterusan sebagai sebahagian daripada agenda pemberdayaan komuniti, sejajar dengan aspirasi menyokong pembangunan modal insan di negeri ini secara inklusif dan mampan.