YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah mengetuai Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 3 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah pada hari ini.
Program berkenaan memberikan ruang kepada rakyat di Batu Gajah dan kawasan sekitar untuk menyuarakan aspirasi, menyalurkan aduan serta mempercepatkan penyelesaian isu-isu yang dihadapi masyarakat.
Turut hadir ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ts. Haji Zul Helmi bin Ghazali sebagai wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Program ini mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pentadbiran yang dinamik, responsif dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat. Hal ini sejajar dengan hasrat murni untuk menjadikan Perak sebagai negeri yang makmur dan sejahtera.
Dalam sesi kali ini, sebanyak 130 aduan telah diterima, merangkumi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi masyarakat. Sehingga pelaksanaan siri kedua sebelumnya, Kerajaan Negeri telah berjaya mengumpulkan sebanyak 236 aduan, dengan 71 peratus daripadanya telah diselesaikan.
Landasan kukuh yang terjalin melalui program seumpama ini membolehkan pembangunan yang mampan dan bersepadu dilaksanakan secara berkesan, seiring dengan aspirasi kolektif ke arah mewujudkan sebuah negeri yang lebih progresif dan berdaya saing di peringkat nasional.