Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengambil bahagian dalam majlis pembukaan rasmi China-ASEAN Mining Cooperation Conference (CAMCC) ke-15 di Nanning, China, baru-baru ini.
Konferensi ini berfungsi sebagai platform strategik yang menggabungkan negara-negara Asia Tenggara dalam usaha memperkasakan kerjasama industri perlombongan di peringkat serantau.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YBhg. Datuk Dr. Ching Thoo Kim. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), YBhg. Datuk Haji Zamri Ramli, bersama-sama wakil-wakil daripada JMG Perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, serta pemain-pemain industri negara.
Keterlibatan proaktif MB Inc. Perak dalam sesi perbincangan strategik bersama kepimpinan tertinggi kementerian telah membuka ruang perkongsian maklumat bernilai dan pengukuhan strategi berkenaan hala tuju industri perlombongan negara, khususnya dalam sektor unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), anak syarikat milik penuh MB Inc. Perak, turut mengambil peranan penting sebagai entiti analisis mineral negeri Perak bagi memperkenalkan kepakaran terkini dalam bidang analisis unsur nadir bumi (REE) dan mineral strategik kepada delegasi serantau dan antarabangsa.
Penyertaan ini menggambarkan komitmen penuh MB Inc. Perak dan TML dalam memperkukuhkan rantaian nilai industri NR-REE secara holistik. Langkah strategik ini sekaligus mengukuhkan kedudukan negeri Perak sebagai perintis utama industri ini di Malaysia.