Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) sekali lagi membuktikan komitmen teguhnya dalam membangunkan prasarana yang memenuhi aspirasi rakyat dengan perasmian Dewan Cassia yang telah dinaik taraf di Kompleks Menembak Darul Ridzuan, Chemor.
Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad. Hadir sama ialah, YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Transformasi Dewan Cassia menjadi ruang serbaguna moden yang berupaya memuatkan sehingga 500 orang ini telah direkabentuk dengan pendekatan holistik yang mengutamakan keselesaan dan kepraktisan optimum.
Keunggulan Dewan Cassia terletak pada sistem prasarana yang komprehensif, merangkumi teknologi pencahayaan canggih dan sistem pengudaraan berkecekapan tinggi bagi memastikan persekitaran yang kondusif sepanjang sebarang aktiviti berlangsung.
Rekabentuk dalaman yang fleksibel membenarkan susun atur ruang disesuaikan mengikut keperluan pelbagai jenis program, sama ada majlis perkahwinan, seminar korporat, upacara rasmi, serta program-program kemasyarakatan.
Perasmian Dewan Cassia ini merupakan manifestasi nyata dedikasi Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan awam berkualiti tinggi, sekaligus mengukuhkan ekosistem prasarana yang mampu menyokong pelbagai aktiviti komuniti dan pertumbuhan ekonomi tempatan.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak