YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah menyempurnakan Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan Projek Hab Agromakanan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Negeri Perak Darul Ridzuan yang berlangsung di Casuarina Meru, Ipoh, baru-baru ini.
Dalam majlis berkenaan, YAB Menteri Besar Perak telah berkongsi pencapaian cemerlang hasil daripada Misi Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke tiga negara Eropah utama, iaitu Perancis, Belgium dan Britain, yang berjaya meraih pelaburan asing bernilai RM450 juta.
Majlis ini turut dihadiri oleh YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Lawatan kerja rasmi ini telah membuka laluan kerjasama strategik dengan pemain industri terkemuka dalam pelbagai sektor kritikal, merangkumi bidang pembinaan, bahan kimia, akuakultur dan automotif.
Antara lawatan kerja yang dilaksanakan dalam misi ini ialah kunjungan delegasi negeri ke syarikat Solvay, sebuah syarikat antarabangsa yang beroperasi sejak 1945 dan terkenal dengan kepakaran dalam pemprosesan serta pengasingan nadir bumi (RE).
Pelaburan bernilai RM450 juta ini dijangka bakal menjana peluang pekerjaan yang signifikan sambil memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke aras yang lebih dinamik dan progresif, selaras dengan memperkasakan agenda-agenda pembangunan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak