Menteri Besar Incorporated (Perak), melalui anak syarikat milik penuhnya, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), telah menerima latihan teknikal bagi instrumen berteknologi tinggi yang mengetengahkan aplikasi terkini dalam analisis geokimia dan mineralogi menggunakan teknologi termaju.
Sesi intensif sehari ini dikendalikan oleh pakar teknikal, Dr. Nigel Kelly, yang dijemput khas dari Bruker, Berlin. Beliau telah membentangkan keupayaan peralatan terkini dalam penyelidikan geosains serta kepentingan aplikasinya dalam penganalisian unsur nadir bumi (REE) yang strategik.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Tuan Haji Nizarulikram Abdul Rahim; Ts. Haji Zul Helmi Ghazali selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; bersama wakil-wakil daripada Bahagian Perkhidmatan Teknikal JMG, Pusat Penyelidikan Mineral JMG, universiti-universiti tempatan dan pihak berkepentingan industri.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta berpeluang menyaksikan demonstrasi lapangan secara langsung dan menerokai potensi aplikasi teknologi mineral dalam memacu pembangunan sektor mineral negara.
Penganjuran bengkel ini selari dengan aspirasi strategik TML untuk menjadi peneraju dalam penyelidikan dan pembangunan analisis mineral, serta memperkukuh jalinan kerjasama dinamik antara agensi kerajaan, pemain industri, dan komuniti akademia.