Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui anak syarikat milik penuhnya, Amanjaya Global Sdn. Bhd. (AG) telah menerima kunjungan akademik daripada lebih 50 warga Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terdiri daripada pelajar tahun pertama dan kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Nuklear, dan pelajar pascasiswazah dari Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
Lawatan dimulakan di Tapak Repositori Mukim Belanja bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pengurusan sisa radioaktif dan pematuhan keselamatan sinaran yang diamalkan di fasiliti tersebut.
Selepas itu, delegasi dibawa ke Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) untuk sesi perkongsian amalan keselamatan sinaran yang menggunakan instrumen Radas Penyinaran. TML merupakan makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) komersial pertama di Malaysia.
Sebagai nilai tambah, para pelajar turut diberi peluang menjalani latihan praktikal pemantauan kawasan sinaran (radiological area monitoring) menggunakan peralatan sebenar di lapangan. Kedua-dua lawatan ini diketuai oleh Ts. Muhammad Amirul Md Noor selaku Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) MB Inc. Perak.
Diharapkan jalinan kerjasama akademik ini dapat mewujudkan ruang strategik untuk pengembangan ilmu serta pembangunan modal insan berkualiti tinggi dalam bidang sains nuklear dan keselamatan sinaran, sekaligus menyokong agenda pembangunan kemampuan negara dalam sektor berteknologi tinggi ini.