Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. (3P), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengadakan lawatan kerja ke Negeri Roadstone Sdn. Bhd. (NRSB), sebuah anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS), baru-baru ini.
Delegasi Negeri Perak diketuai oleh Encik Anas Ady Yaacob selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak, bersama barisan wakil dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak. Rombongan ini telah dijemput ke NRSB yang telah beroperasi lebih 50 tahun dalam mengeluarkan produk mineral berasaskan granit.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah PTG Negeri Sembilan, Puan Siti Nor Rafidah; Penolong Pengarah PTG Negeri Sembilan, Encik Mohd. Alfian; dan Ketua Pegawai Eksekutif NRSB, Encik Haqime Amdan.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi negeri Perak berpeluang menyaksikan keseluruhan pengoperasian kuari granit serta pelaksanaan sistem e-doket V3 yang telah diluluskan oleh PTG Negeri Sembilan bagi tapak operasi kuari berkenaan.
Pada masa sama, delegasi MB Inc. Perak turut berkesempatan berkongsi dan menyampaikan maklumat berkenaan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia yang dikawal selia sepenuhnya oleh MB Inc. Perak.
Di Negeri Perak, lebih 100 tapak operasi bahan batuan pasir dan pasir silika telah menggunapakai sistem e-doket V3 sejak tahun 2023. Penggunaan e-Doket ini merupakan inovasi pertama di Malaysia bagi aktiviti pemindahan bahan batuan dan mineral yang diperkenalkan oleh MB Inc. Perak melalui 3P dengan kerjasama PTG Negeri Perak.
Penggunaan sistem ini terbukti berkesan dalam mengurangkan ketirisan hasil kutipan royalti kepada Kerajaan Negeri. Sistem ini sentiasa dinaiktaraf seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.