Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima inisiatif strategik menerusi lawatan penanda aras oleh Yayasan Perak sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kecekapan operasi organisasi, hari ini.
Lawatan yang diketuai oleh Pengurus Unit Pemantauan Operasi & Penyampaian Perkhidmatan Yayasan Perak, Encik Farid bin Wazali, bertujuan merintis hubungan kerjasama yang lebih erat melalui perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan korporat. Delegasi telah disambut oleh Encik Rizam Abd Rani, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Tumpuan utama sesi perbincangan adalah mengenai rangka kerja pemberian inisiatif berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dilaksanakan di MB Inc. Perak. Pendekatan ini bakal menjadi panduan nilai tambah kepada Yayasan Perak dalam usaha melaksanakan sistem ganjaran yang lebih telus dan berorientasikan pencapaian.
Perbincangan turut merangkumi aspek inovatif dalam pengurusan sumber manusia dan peningkatan keberkesanan pentadbiran. Kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai strategi untuk memaksimumkan potensi modal insan serta melaksanakan penambahbaikan proses kerja berlandaskan amalan terbaik industri.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Perak untuk mempertingkatkan keupayaan organisasi melalui pendekatan progresif dan berorientasikan hasil yang cemerlang, demi merealisasikan agenda pembangunan negeri yang mampan, inklusif dan berdaya saing.