Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak mencatat sejarah apabila menjadi perintis dalam menyediakan fasiliti kolam hidroterapi berteknologi tinggi pertama di Malaysia yang telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, di Seladang Sport Hub, Ipoh, baru-baru ini.
Kemudahan canggih ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pembangunan sukan dan kesejahteraan atlet Perak. Fasiliti ini bukan sekadar menyediakan ruang pemulihan kecederaan, malah memainkan peranan kritikal dalam memacu kecemerlangan prestasi atlet melalui teknologi terkini.
Hadir sama, YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Pengarah MSN Perak, Tuan Haji Mazlan bin Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Dengan teknologi terkini, kolam hidroterapi ini berperanan sebagai ejen pemangkin dalam mempercepatkan pemulihan tisu otot, mengurangkan tekanan pada sendi dan menyokong proses rehabilitasi secara komprehensif.
Pembangunan fasiliti ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi menyeluruh MSN Perak untuk memperkukuh ekosistem sokongan atlet. Pendekatan progresif ini diharap dapat membantu atlet Perak mencapai prestasi optimum dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekaligus mengangkat martabat sukan negeri ke persada yang lebih tinggi.