Susulan kunjungan hormat Mantan Gubernur Riau, Indonesia, YTH Datuk Seri Rusli Zainal bersama delegasi PT Cipta Persada Mulia (CPM) ke atas YAB Menteri Besar Perak baru-baru ini, satu rangkaian lawatan kerja strategik ke Provinsi Kepulauan Riau telah dilaksanakan. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau operasi komprehensif industri mineral bijih timah yang diurus tadbir oleh CPM.
Delegasi dari negeri Perak yang terdiri daripada wakil-wakil Menteri Besar Incorporated (Perak), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), dan Perak Investment Management Centre (InvestPerak) telah meneroka potensi kerjasama strategik dalam sektor mineral berkenaan.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi Perak diberi pendedahan komprehensif terhadap keseluruhan rantaian nilai industri bijih timah CPM. Program ini merangkumi tinjauan ke tapak perlombongan laut di perairan Kepulauan Riau, lawatan ke kilang peleburan bijih timah (smelter), serta kilang hiliran (tin solder) yang berpusat di Bandaraya Batam, Provinsi Kepulauan Riau, Indonesia.
CPM turut menzahirkan kesediaan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama ekonomi dengan negeri Perak, khususnya dalam aspek pelaburan strategik bagi memacu pembangunan industri mineral bijih timah.
MB Inc. Perak berkeyakinan bahawa kerjasama strategik ini akan menjana peningkatan pelaburan langsung, pemindahan teknologi, dan pembangunan kemahiran yang memberi impak positif kepada ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat secara holistik.
Lawatan kerja ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai peluang kerjasama ekonomi antara Perak dan Kepulauan Riau, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan peningkatan taraf hidup rakyat di kedua-dua wilayah.