Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran telah melaksanakan Program Pemanduan Defensif selama dua hari bermula 13 hingga 14 Januari 2025 di Perak Techno Trade Centre (PTTC), Meru, baru-baru ini.
Program yang disertai oleh 16 kakitangan yang terlibat secara langsung dalam tugas pemanduan ini bertujuan memantapkan kemahiran pemanduan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Para peserta didedahkan dengan teknik pemeriksaan asas kenderaan dan diperkenalkan kepada sistem pemanduan teori SIPDE (Scan, Identify, Predict, Decide, Execute).
Program ini dirangka khusus untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan melalui pendedahan serta latihan komprehensif kepada pemandu dalam menangani pelbagai situasi berisiko di jalan raya.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada Jurulatih Program, Encik Ismail Abu Talib, yang disempurnakan oleh wakil Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran MB Inc. Perak, Puan Suraya Mohamad Mahmod Yap.
Pelaksanaan program ini membuktikan kesungguhan MB Inc. Perak dalam memastikan kakitangan dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran pemanduan yang sempurna.
Inisiatif ini jelas mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sekaligus menyokong usaha pengurangan kemalangan jalan raya dalam kalangan kakitangan.