Menteri Besar Incorporated (Perak) terus membuktikan keazaman dalam memacu pembangunan pendidikan dan sukan di negeri Perak menerusi sumbangan infrastruktur kepada institusi pendidikan tempatan, baru-baru ini.
Melalui inisiatif ini, MB Inc. Perak telah menyumbangkan dua unit khemah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom, sekaligus menunjukkan komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Hadir sama, Guru Besar SK Sahom, Encik Hamdzan bin Osman; Puan Zaharatul Nazihah, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta barisan wakil pegawai Komunikasi Korporat Strategik MB Inc. Perak.
Sumbangan strategik ini bertepatan dengan persediaan SK Sahom menganjurkan Kejohanan Olahraga Kali Ke-4, di mana khemah tersebut akan dimanfaatkan sebagai kemudahan sokongan untuk para peserta dan penganjur kejohanan.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 150 pelajar yang terdiri daripada 48% pelajar Melayu dan 42% Orang Asal, sekaligus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dalam membentuk generasi yang cergas dan sihat.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada rangkaian program CSR MB Inc. Perak yang menyeluruh, yang telah memberikan impak positif kepada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negeri Perak.