Satu mesyuarat pembukaan Menteri Besar Incorporated (Perak) bersama Pengarah Audit Negeri Perak, YBrs. Puan Selwah Haji Said telah berlangsung bagi membincangkan pengauditan pengurusan Syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. (3P), hari ini.
Syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn. Bhd. (3P), selaku anak syarikat di bawah MB Inc. Perak, telah diamanahkan untuk mengawal selia dan menguruskan aktiviti pengekstrakan pasir di negeri Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, bersama barisan pengurusan kanan telah memberikan sambutan mesra kepada delegasi Jabatan Audit Negara Negeri Perak.
Pengauditan ini selaras dengan saranan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Audit Negara (JAN) untuk melaksanakan audit ke atas semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula tahun 2025. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha mewujudkan era baharu tadbir urus di Malaysia.
MB Inc. Perak berkeyakinan bahawa pengauditan ini akan menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan pengurusan dan pengukuhan tadbir urus yang lebih proaktif. Usaha ini dijangka membawa nilai tambah dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat.