Menteri Besar Incorporated (Perak) mengambil langkah proaktif dalam mempertingkatkan prestasi dan kebajikan warga kerjanya melalui penganjuran dua sesi taklimat penting yang telah berlangsung di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, baru-baru ini.
Melalui inisiatif Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran, sesi pertama memfokuskan kepada taklimat Key Performance Indicator (KPI) Tahun 2024 yang bertujuan menyelaras hala tuju dan sasaran prestasi organisasi untuk tahun mendatang. Taklimat ini merupakan bukti komitmen MB Inc. Perak dalam membudayakan kecemerlangan dan memastikan setiap warga kerja memahami peranan strategik mereka dalam mencapai matlamat korporat.
Hadir sama dalam sesi taklimat tersebut ialah Encik Rizam Abd Rani, selaku wakil pengurusan kanan MB Inc. Perak; serta barisan pengurusan dan warga kerja MB Inc. Perak.
Sesi kedua pula menyaksikan kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Cawangan Perak melalui Sesi Taklimat PTPTN yang merangkumi dua aspek utama iaitu Pembukaan Kaunter Info Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan kemudahan Bayaran Balik Pinjaman. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan MB Inc. Perak terhadap kesejahteraan kewangan dan perancangan masa depan warga kerjanya.
Kedua-dua sesi taklimat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MB Inc. Perak dalam memperkasakan modal insan dan memberi nilai tambah kepada pengalaman bekerja warga syarikat. Program seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa selaras dengan aspirasi MB Inc. Perak untuk menjadi agensi Kerajaan Negeri yang dinamik dan cemerlang.