Satu sesi pembentangan laporan akhir telah berlangsung bagi membentangkan hasil kajian pemantauan keradioaktifan, sumber air bawah tanah dan kestabilan tanah Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, baru-baru ini.
Laporan tersebut bertujuan untuk membentangkan metodologi kajian, dapatan analisis persampelan perlombongan, serta mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan, yang telah dijalankan dari Januari hingga Jun 2024.
Sesi pembentangan ini telah dihadiri oleh Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Tuan Haji Nizarulikram Abdul Rahim, bersama-sama para pakar penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), serta wakil Institut Darul Ridzuan (IDR) dan MB Inc. Perak.
Kajian ini merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan di bawah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) yang telah dilancarkan pada Oktober lalu. Ia merupakan salah satu strategi untuk memperkasakan agenda Perlombongan Bertanggungjawab selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Sebagai peneraju industri mineral di negeri Perak, MB Inc. Perak komited untuk terus memacu pelbagai inisiatif dalam usaha membangunkan industri baharu ini di semua peringkat, demi memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak khususnya.