YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, telah mengetuai Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Siri Ke-8 Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering, baru-baru ini.
Program yang menghimpunkan pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri ini telah membuktikan keberkesanannya dalam menangani permasalahan rakyat secara langsung dan telus. Inisiatif ini memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan kebimbangan mereka tanpa sebarang halangan.
Cetusan idea YAB Menteri Besar Perak ini merupakan pendekatan proaktif yang membuktikan ketelusan dan kecekapan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Program ini turut dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Platform komunikasi dua hala ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menyantuni rakyat, malah berperanan penting dalam memastikan pentadbiran negeri sentiasa sejajar dengan aspirasi dan keperluan rakyat.
MB Inc. Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir dan berharap hubungan erat ini akan terus diperkukuhkan demi merealisasikan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030.