Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER), Tuan Mohamad Haris Kader Sultan di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, hari ini.
Kunjungan strategik ini merupakan wadah penting dalam mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua organisasi. Perbincangan yang konstruktif telah berlangsung dengan memberikan tumpuan khusus terhadap potensi kolaborasi dalam memacu sektor pembangunan ekonomi, terutamanya dalam industri NR-REE di wilayah koridor utara.
Dalam perbincangan tersebut, perhatian turut diberikan kepada hala tuju pembangunan projek berimpak tinggi MB Inc. Perak, iaitu Bagan Datuk International Fishery Industrial Park. Projek transformatif ini berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dan berpotensi menjadikan Bagan Datuk sebagai hab perikanan antarabangsa yang unggul.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh pembangunan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (Centre of Excellence for Mineral Research, CoE). Pusat ini bertujuan memperkasakan industri mineral negeri dengan menyediakan pusat sehenti bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta program latihan kepada graduan baharu Perak dalam bidang berkaitan.
Pendekatan kolaboratif melalui kunjungan ini memperlihatkan kepentingan kerjasama erat antara pihak persekutuan dan negeri dalam merealisasikan kerangka pembangunan yang mampan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.