Menteri Besar Incorporated (Perak) menyertai Perak Sejahtera 2030 Summit x Pemikir Darul Ridzuan bertemakan “Pemikir Pemangkin Perak Makmur Rakyat Sejahtera", anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) yang berlangsung di Hotel Casuarina @ Meru, hari ini.
Program ini bukan sekadar platform perkongsian, tetapi juga berfungsi sebagai katalis dalam menggalakkan kerjasama erat antara Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pemikir Darul Ridzuan, serta pemain industri. Perbincangan meja bulat yang diadakan memberi tumpuan kepada inisiatif terkini, kerjasama strategik, serta cabaran dan cadangan penambahbaikan dalam usaha mencapai matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin, tampil membentangkan hala tuju dan prestasi syarikat dalam memacu pertumbuhan di negeri Perak khususnya dengan memberikan penekanan terhadap usaha dan inisiatif MB Inc. Perak dalam merealisasikan Agenda Perlombongan Bertanggungjawab, selaras dengan garis panduan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Program ini turut merangkumi tiga segmen utama perbincangan meja bulat yang meliputi aspek Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial, dan Sejahtera Politik. Pendekatan holistik ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh.
Penganjuran summit ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menggembleng tenaga dan idea dari pelbagai lapisan masyarakat. Ia menjadi lambang keazaman Perak untuk terus maju ke hadapan, dengan matlamat akhir mewujudkan negeri yang makmur dan rakyat yang sejahtera menjelang tahun 2030.