YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, hari ini telah mengadakan lawatan ke Pavilion Negeri Perak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang berlangsung di MAEPS Serdang.
MAHA 2024, anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, menyambut ulang tahun ke-100 dengan tema "Menuai Harapan, Membina Masa Depan". Pameran ini merangkumi 48 segmen yang meliputi keseluruhan ekosistem berkaitan dengan rantaian nilai agromakanan.
Pavilion Negeri Perak, antara 13 pavilion negeri yang menyertai Pameran MAHA 2024, bertemakan "Lestari Agro, Perak Makmur". Pavilion ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, pameran kraf tangan, jualan barangan tempatan, serta reruai maklumat mengenai keterjaminan rangkaian makanan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Ketua dan Pengarah Agensi Kerajaan Negeri.
Dalam majlis yang sama, Menteri Besar Incorporated (Perak) turut menerima plak penghargaan sebagai salah satu penaja bagi Pavilion Negeri Perak, MAHA 2024.
Penganjuran program berskala besar seperti ini merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan aspek kelestarian dan inovasi dalam sektor pertanian dan penternakan. Ia juga berperanan sebagai medan pemasaran bagi membantu usahawan kecil dan sederhana.
MB Inc. Perak mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas kejayaan menarik lebih daripada 59,000 pengunjung sejak pameran ini dibuka pada 11 September lalu. Semoga usaha murni sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.