Satu lawatan teknikal telah diadakan oleh Nuclear and Radiological Regulatory Commission (NRRC), Arab Saudi ke Tapak Repositori, Mukim Belanja yang diurus selia oleh Amanjaya Global Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (Perak), hari ini.
Lawatan teknikal ini merupakan hasil kolaborasi bersama Jabatan Tenaga Atom Malaysia di bawah aktiviti “3rd Fellowship Programme on the Inspection and Enforcement of Radiation Facilities”. Program ini merangkumi lawatan tapak ke atas pengoperasian dan pengurusan sisa radioaktif (D&D Project) dalam aspek keselamatan (Safety) serta Sekuriti dan Kawalgunaan (Security and Safeguard).
Delegasi seramai 13 orang yang terdiri daripada pegawai teknikal NRRC dan kakitangan Jabatan Tenaga Atom Malaysia telah disambut baik oleh Ts. Haji Zul Helmi Ghazali, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Selepas itu, pihak delegasi dibawa berkunjung ke Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) untuk melihat sendiri tinggalan sejarah perlombongan bijih timah yang pernah menguasai ekonomi negara pada suatu ketika dahulu. Selain itu, pihak delegasi turut diberi penerangan mengenai transformasi sebuah tapak tinggalan perlombongan kepada sebuah tempat pelancongan bertaraf antarabangsa.
Diharapkan program perkongsian ilmu seperti ini akan membawa impak positif bukan sahaja untuk pihak Berkuasa Kerajaan Arab Saudi, bahkan membuka peluang untuk jalinan kerjasama pada masa hadapan.