YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa 1 dan Majlis Pecah Tanah Rumah Perakku Fasa 2 di Taman Kerian Putra, Parit Buntar dengan jayanya baru-baru ini.
Majlis yang penuh bermakna ini menjadi titik permulaan kepada harapan baharu buat 150 keluarga yang akhirnya berjaya memiliki kediaman sendiri menerusi Fasa 1 projek perumahan mampu milik anjuran Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI).
Rumah Perakku Fasa 1 yang menawarkan 150 unit kediaman moden dan selesa telah berjaya dijual dengan harga bermula dari RM 95,000 selepas menerima subsidi daripada Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP). Harga jualan yang kompetitif ini merupakan bukti jelas komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan peluang pemilikan rumah mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Puan Sandrea Ng Shy Ching; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Tuan Zulkefli bin Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Ketua dan Pengarah Jabatan Agensi Negeri.
Majlis seterusnya membuka lembaran baharu dengan pelancaran Rumah Perakku Fasa 2 melalui upacara pecah tanah yang simbolik. Fasa kedua ini akan menyaksikan pembinaan tambahan 100 unit rumah yang dijangka siap pada tahun 2026, sekaligus meningkatkan lagi jumlah kediaman mampu milik di Parit Buntar. Di samping itu, pembinaan kedai pejabat dua tingkat turut dirancang secara berperingkat bagi mewujudkan sebuah komuniti yang lengkap dan kondusif di kawasan ini.
MB Inc. Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah atas komitmen padu serta dedikasi yang dizahirkan oleh SSI dalam merealisasikan agenda Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan berkualiti yang mampu dimiliki oleh rakyat Perak. Adalah menjadi harapan kami agar usaha-usaha murni sebegini akan terus dipergiat dan diperhebat demi menjamin kesejahteraan rakyat Perak secara keseluruhannya.