Dalam langkah strategik menjelang pelancaran rasmi pada Oktober 2024, barisan pengurusan MB Inc. Perak telah mengadakan sesi kunjungan ke Terra Mineral Lab (TML), hari ini.
Terra Mineral Lab, sebuah fasiliti yang dilengkapi teknologi terkini, mempamerkan keupayaan dalam menganalisis, mengenal pasti, dan menentusahkan kandungan pelbagai unsur mineral, termasuk Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).
Kunjungan tersebut diketuai oleh Encik Kamarulariffin bin Ayub bersama barisan pengurusan MB Inc. Perak.
Sepanjang lawatan ini, barisan pengurusan MB Inc. Perak diberi taklimat mengenai pelbagai proses analisis yang dijalankan di makmal tersebut. Mereka turut menyaksikan secara langsung keupayaan kakitangan TML menganalisis dan menentusahkan unsur-unsur mineral dengan ketepatan tinggi.
Pelancaran rasmi TML yang dijadualkan pada Oktober 2024 bakal menjadi mercu tanda penting dalam sejarah pembangunan industri mineral negeri Perak. Ia bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan negeri dalam sektor perlombongan mineral, malah turut menyokong agenda kelestarian negeri melalui pengeksploitasian sumber mineral yang bertanggungjawab.
Kunjungan ini merupakan langkah proaktif dalam memastikan kesediaan semua pihak menjelang pelancaran rasmi yang bakal mengubah landskap industri mineral negeri dan negara.