Menteri Besar Incorporated (Perak) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) telah mengukuhkan ukhwah dan kerjasama antara agensi Kerajaan Negeri melalui penganjuran perlawanan persahabatan badminton, baru-baru ini.
Acara yang berlangsung di Arena Badminton Perak ini bukan sekadar pertandingan sukan semata-mata, malah merupakan manifestasi komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan profesional dan interpersonal di luar ruang lingkup pejabat. Perlawanan ini telah berjaya meningkatkan semangat kesukanan dan silaturahim yang erat dalam kalangan peserta.
Turut memeriahkan perlawanan persahabatan tersebut ialah kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Tuan Zulkefli bin Abdullah; barisan pengurusan MB Inc. Perak dan SSI; serta wakil-wakil warga kerja kedua-dua agensi.
Perlawanan persahabatan ini menyaksikan penyertaan yang memberangsangkan daripada kedua-dua pihak, dengan beberapa aksi sengit yang memperlihatkan bakat dan semangat kesukanan yang tinggi. Walaupun tiada pemenang rasmi diumumkan, semua peserta dianggap sebagai juara atas semangat perpaduan yang ditunjukkan.
MB Inc. Perak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara ini dan berharap inisiatif seumpama ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi dan keberkesanan perkhidmatan awam di negeri Perak.