DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di hadapan Dewan Bandaraya Ipoh, baru-baru ini.
Turut berangkat ialah DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa serta DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Ketibaan baginda disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubin.
Sambutan tahun ini dimulakan dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen diiringi pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Seterusnya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada 3 pegawai dan 106 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.
Perarakan dan perbarisan tahun ini melibatkan 71 kontinjen yang terdiri daripada 6,000 peserta dari pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Perak.
Turut hadir ialah Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Mohd Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Ketua dan Pengarah Agensi Kerajaan Negeri.
Majlis ini turut merangkumi Jamuan Teh dan Penyampaian Sumbangan kepada para Wira Negara serta Penyampaian Hadiah Pertandingan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak Tahun 2024.
Pihak pengurusan dan seluruh warga kerja MB Inc. Perak mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-67 buat negara Malaysia tercinta, tanah tumpahnya darahku. Marilah kita semua menyemarakkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan memupuk semangat patriotisme dalam diri.
"Malaysia Madani : Jiwa Merdeka"