Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengadakan sesi perbincangan holistik bersama pakar-pakar penyelidik dari Universiti Malaya (UM) untuk merancakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di negeri Perak.
Pertemuan strategik ini membuka lembaran baharu dalam landskap penyelidikan sumber mineral bernilai tinggi negara. Ia menyaksikan perkongsian kepakaran antara MB Inc. Perak dengan barisan penyelidik dan ahli akademik UM.
Turut hadir ialah Pengerusi Penerokaan Ilmu Alam Semulajadi, Prof. ChM. Dr. Juan Joon Ching; Ketua Protem Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Nadir Bumi, Dr. Hijaz Kamal Hasnan; Encik Mohd Ridzuan Marsidi dan Ts. Haji Zul Helmi Ghazali, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta barisan pakar dari UM dan pegawai-pegawai MB Inc. Perak.
Antara fokus utama perbincangan termasuklah penyelidikan lanjutan teknologi pengekstrakan dan pemprosesan NR-REE yang mesra alam, pembangunan teknologi baharu untuk sumber NR-REE dalam industri berteknologi tinggi, serta kajian impak sosio-ekonomi terhadap komuniti setempat hasil daripada aktiviti perlombongan NR-REE.
Sesi perbincangan ini merupakan permulaan siri kolaborasi jangka panjang yang dijangka akan menghasilkan penemuan saintifik baharu, inovasi teknologi, dan peluang ekonomi yang signifikan buat negeri Perak.
MB Inc. Perak dan UM komited untuk memastikan kerjasama ini bukan sahaja memajukan industri NR-REE, tetapi juga menyokong pembangunan lestari dan memperkukuh kedudukan negeri Perak sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global sumber strategik ini.