Seusai Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Mesra Muslim “Kembara Islamik” sempena Tahun Melawat Perak 2024, seramai 40 peserta telah menyertai lawatan ke Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5). Program ini dianjurkan secara bersama oleh Santai Travel dan Islamic Tourism Centre (ITC).
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memperkenalkan keunikan destinasi pelancongan Perak yang mesra Muslim. Pakej “Kembara Islamik” direka khas untuk menarik minat pelancong Muslim dari pelbagai pelosok dunia, dengan tumpuan khusus kepada pasaran Timur Tengah, China, dan Eropah.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Encik Shaharin Zainon, selaku wakil Pengurusan MB Inc. Perak, serta barisan pegawai daripada ITC dan MB Inc. Perak.
Pelancaran “Kembara Islamik” ini menandakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memajukan sektor pelancongan, sambil memenuhi keperluan khusus pelancong Muslim. Usaha ini diharap dapat memperkukuhkan kedudukan negeri Perak sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang unggul di rantau ini.