Malam yang gemilang telah terukir dalam sejarah sukan tanah air apabila Majlis Pembukaan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 berlangsung dengan penuh jayanya di Stadium Sarawak, Petra Jaya, baru-baru ini.
Majlis pembukaan bersejarah ini disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, diiringi YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Puan Hannah Yeoh.
Kontinjen SUKMA Perak mencatatkan kehadiran cemerlang semasa Majlis Pembukaan SUKMA XXI Sarawak 2024. Dipimpin oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Chef De Mission, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, kontinjen mempamerkan semangat juang berkobar-kobar semasa perarakan masuk ke stadium.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri merangkap Timbalan Chef De Mission, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin, serta barisan Ketua Jabatan Negeri selaku Agensi Angkat sukan yang telah diamanahkan.
SUKMA XXI Sarawak 2024 bukan sekadar kejohanan, tetapi manifestasi usaha negara membangunkan bakat sukan dan memperkasakan atlet muda. Dengan penyertaan atlet dan pegawai dari seluruh negara, temasya ini menjanjikan persaingan sengit dalam pelbagai acara sukan.
Pihak MB Inc. Perak berharap setiap pasukan dan atlet bersaing dengan penuh integriti dan semangat kesukanan yang tinggi. Seperti pepatah Sarawak, 'Segulai, Sejalai' dan 'Agi Idup Agi Ngelaban'. Semoga Kontinjen SUKMA Perak mengharumkan nama negeri di persada SUKMA kali ini.