Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran telah menganjurkan satu program kesedaran yang menggabungkan dua aspek penting dalam kehidupan warga kerjanya iaitu Program Kesihatan dan Kewangan, di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, hari ini.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengurus Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran MB Inc. Perak, Puan Nurul Zafirah binti Zakaria, serta barisan wakil warga kerja MB Inc. Perak.
Dalam sesi pertama, warga kerja MB Inc. Perak telah diberi pendedahan mengenai pelbagai penyakit kritikal yang semakin menular dalam masyarakat moden. Mereka juga turut menerima perkongsian maklumat penting tentang gejala-gejala awal dan kepentingan perlindungan kewangan dalam menghadapi penyakit-penyakit tersebut.
Sesi kedua pula memberi tumpuan kepada aspek perancangan kewangan dimana wakil pegawai dari CIMB Bank, Cawangan Ipoh telah membentangkan produk-produk kewangan serta strategi-strategi pelaburan yang boleh membantu warga kerja MB Inc. Perak merancang masa depan kewangan mereka dengan lebih berkesan.
Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen MB Inc. Perak untuk memastikan kesejahteraan menyeluruh warga kerja. Ia juga bertujuan memberi kesedaran bahawa kesihatan dan pengurusan kewangan yang bijak adalah asas kepada produktiviti dan kepuasan kerja yang tinggi.
Pihak MB Inc. Perak menyasarkan lebih banyak program seumpama ini pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti hidup seluruh warga kerjanya.