Lawatan Kerja Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama-sama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Jabatan Perhutanan ke Tapak Projek Perintis Perlombongan NR-REE, di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.
Kesemua delegasi berkesempatan meninjau tapak projek perintis yang juga merupakan satu-satunya projek perlombongan NR-REE di Malaysia yang telah diberikan kelulusan oleh jabatan dan agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri bagi membolehkannya beroperasi.
Ketika sesi lawatan tersebut, delegasi telah diberikan penerangan terperinci mengenai tapak projek yang mengguna pakai kaedah perlombongan in-situ leaching yang dikenal pasti lebih selamat dan mesra alam berbanding kaedah yang lazim diguna pakai dalam perlombongan mineral lain di Malaysia.
Delegasi NRES diketuai oleh Ketua Pengarah Perhilitan, YBhg Dato' Abdul Kadir bin Abu Hashim ; dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, YBhg Datuk Haji Zamri bin Ramli ; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YBhg Dato' Indera Mohd Ridza bin Awang; Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti & Perhutanan NRES, Puan Norsham binti Abdul Latip dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan termasuk Ketua Pegawai Operasi MB Inc., Encik Nor Afzanizam Abd Manan.
Semoga kunjungan tersebut memberi manfaat kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam memastikan perlombongan NR-REE dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi semua negeri-negeri di Malaysia sekali gus memacu perkembangan positif bagi industri negara selaras dengan Dasar Mineral Negara.