DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah mencemar duli ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Tahun 1445H/2023M di Istana Iskandariah, hari ini.
Turut berangkat sama ke majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Dalam istiadat tersebut, YBhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh mendahului senarai 24 orang penerima Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan dengan menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP).
Turut menerima SPMP, YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato' Seri Dr. Zulkapli bin Mohamed.
Manakala bagi Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) dikurniakan kepada YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin.
Sementara itu, seramai 14 orang penerima dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato' antaranya ialah YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri, Dato' Salbiah binti Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Ybhg Dato’ Haji Yahanis Yahya.
Hadir sama dalam istiadat , YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi; YAA Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat; YDH. Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Seri Razarudin bin Husain; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Parlimen; Ahli-ahli Dewan Negeri; Ahli-ahli Dewan Negara Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (Perak), Encik Anuar Zainal Abidin.
Terdahulu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sempena Istiadat Hari Keputeraan baginda Tahun 1445H/ 2023M.
Dalam kesempatan ini, setinggi- tinggi Tahniah diucapkan kepada semua penerima darjah kebesaran dan semoga penganugerahan ini akan menjadi pemangkin agar lebih cemerlang menabur budi di negeri Perak khususnya.