Lawatan kerja delegasi Negeri Perak ke Tapak Pemuliharaan (Rehabilitation) NR-REE di Chongzuo, China.
Fokus utama lawatan kerja ini adalah untuk memberikan pendedahan secara menyeluruh dan komprehensif kepada para delegasi berkenaan pemuliharaan tanah-tanah dan kawasan selepas melaksanakan aktiviti pengekstrakan NR-REE di kawasan tapak tersebut.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Astaka, YB Tuan Jason Ng Thien Yeong; Pegawai Daerah Hulu Perak, Tuan Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, YBhg. Dato’ Dr. Mohammad Ezanni bin Mat Salleh; Pengarah Perhutanan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohd Basri bin Abdul Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Encik Anuar Zainal Abidin serta barisan wakil pegawai daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan MB Inc.
Dalam pada itu, lawatan kerja oleh para delegasi Negeri Perak ini juga merupakan salah satu medium untuk mempelajari dan meningkatkan pengetahuan dalam pengendalian kerja-kerja pemuliharaan tanah yang akan dilaksanakan di tapak Projek Perintis NR-REE, Mukim Kenering.
Semoga lawatan kerja ini dapat memberikan manfaat yang sepenuhnya kepada negeri Perak dalam menguruskan pemuliharaan tapak perlombongan NR-REE di negeri Perak secara holistik dan bertanggungjawab.