Amanjaya TT5 Sdn. Bhd., anak syarikat Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima lawatan kumpulan media yang terdiri daripada wartawan, bloggers dan influencers ke Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5).
Kesemua 25 peserta telah menyertai lawatan tersebut yang dianjurkan oleh Tourism Perak dan diselaraskan oleh Gaya Travel, dimana ia merupakan sebahagian daripada program Tahun Melawat Perak 2024.
TT5 yang mempunyai keunikan tersendiri dengan warisan Kapal Korek, Maze Park dan tarikan terbaharu iaitu Taman Alam Semulajadi Escape @ Ipoh, sekali gus menjadi salah satu lokasi pilihan daripada 35 lokasi terkenal di negeri Perak bagi Tahun Melawat Perak 2024.
Kunjungan media tersebut telah disambut oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat Strategik MB Inc., Cik Siti Kamesah Bee; Pengurus Amanjaya TT5 Sdn. Bhd., Encik Shahrin Zainon; serta barisan wakil kerja MB Inc.
Dalam kunjungan itu, para media telah dibawa menerokai Kapal Korek TT5 untuk memahami sejarah kapal korek tersebut dengan lebih terperinci dan turut berkesempatan untuk menerokai TT5 Maze Park atau Taman Pagar Sesat berbentuk hati yang pertama dan terbesar di Malaysia sambil melihat keunikan di sekitar kawasan tersebut.
Pada masa sama, kunjungan diteruskan lagi dengan menjelajah ke Taman Alam Semulajadi (Escape Nature Park) yang mengetengahkan konsep mesra alam sekitar di TT5 sambil menikmati juadah BBQ yang tersedia.
Pihak MB Inc. ingin mengucapkan terima kasih kepada para delegasi kerana telah memilih TT5 dan Escape Nature Park dalam mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di negeri Perak.