DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1445H/2023M.
Turut berangkat, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; serta DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim; dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.
Ketibaan baginda telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubin. Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; serta Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Sambutan pada tahun ini yang bertemakan, Rasullah SAW : Mengungguli Peradaban Umat ini dihadiri lebih 2,000 hadirin yang dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Pada sambutan tersebut, DYMM Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Keluarga Mithali, Tokoh Pendakwah, Tokoh Pengamal Media dan Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Semoga sambutan memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasullah SAW buat semua umat Islam.