Amanjaya TT5 Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh MB Inc. telah mengambil bahagian sebagai pempamer yang mempamerkan produk pelancongan di negeri Perak iaitu Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5) dan Maze Park TT5 ketika Program Citra Nusa @ Muzium Matang di Kota Ngah Ibrahim, Matang, Taiping, baru-baru ini.
Pameran kapal korek ikonik dan taman pagar sesat berbentuk hati yang pertama seumpamanya di Malaysia ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Program Citra Nusa @ Muzium Matang dianjurkan bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dalam menyebarluaskan pemahaman budaya antara satu sama lain.
Program tersebut telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir dalam perasmian program tersebut ialah Orang Besar Jajahan Larut, Matang & Selama, Y.A.Bhg Orang Kaya Menteri Paduka Tuan,Dato’ Haji Wan Mohd Isa Bin Dato' Haji Wan Mohd Razali, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim; YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohamad Zahir bin Abdul Khalid; serta barisan wakil Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Menteri Besar Incorporated (Perak) yang telah diwakili oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat Strategik MB Inc., Cik Siti Kamesah Bee; Pengurus Amanjaya TT5 Sdn. Bhd., Encik Shahrin Zainon; serta barisan wakil kerja MB Inc. turut bersama menyokong inisiatif penganjuran tersebut.
Menerusi program tersebut, MB Inc. akan terus komited berusaha menyokong kerajaan Negeri dalam memelihara bangunan warisan yang menekankan kepada kelestarian sejarah dan budaya serta meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi pemeliharaan bandar untuk menjaga kualiti reka bentuk daripada mengalami kemusnahan nilai seni bina.
Pihak MB Inc. ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung. Semoga semua pihak dapat memainkan peranan yang penting dalam mengangkat dan mempromosikan penjenamaan semula serta pemuliharaan Bandar Warisan Taiping melalui ekonomi berteraskan pelancongan warisan dan sejarah.