Seusai Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran Kali Ke-24 selama 3 hari di Hotel Weil, Ipoh, program tersebut diteruskan dengan Lawatan Teknikal ke Tapak Respositori, Mukim Belanja yang dikawal selia oleh MB Inc.
Lawatan teknikal tersebut telah dihadiri oleh 80 peserta yang terlibat sepanjang program ini berlangsung dan diketuai oleh Presiden Persatuan Keselamatan Sinaran Malaysia (MARPA), Ts. Dr. Husaini Salleh.
Kehadiran para peserta tersebut telah disambut baik oleh Pengurus Kanan Amanjaya Global Sdn. Bhd. yang juga merupakan Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) MB Inc., Ts. Haji Zul Helmi; serta barisan wakil kerja MB Inc.
Tujuan utama lawatan teknikal tersebut adalah untuk memberi pendedahan secara “hands-on” kepada para peserta berkaitan perlaksanaan program pemantauan radiologi dan prosedur keselamatan yang diamalkan secara efisien oleh pihak MB Inc.
Untuk makluman, MB Inc. melalui Amanjaya Global Sdn. Bhd. merupakan pemegang kelas lesen dengan pihak Jabatan Atom Malaysia (Atom Malaysia) dan telah menerima pengiktirafan Atom Malaysia bagi Anugerah Komitmen Cemerlang Pematuhan pada tahun 2022 di atas usaha menguruskan keselamatan sinaran yang cemerlang dan efisien dalam menguruskan Tapak Repositori tersebut.
Dalam pada itu, antara inti pati lawatan tersebut adalah sesi taklimat keselamatan oleh Pegawai Perlindungan Sinaran MB Inc., Ts. Muhammad Amirul bin Md Noor dan sesi taklimat Tapak Repositori yang telah diketuai oleh Penyelia Perlindungan Sinaran MB Inc., Puan Nur Ain Razak.
Pihak MB Inc. merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta yang telah terlibat dalam menjayakan program ini secara langsung dan tidak langsung.
Semoga lawatan teknikal sempena Persidangan Perlindungan Sinaran dan Bengkel 2023 ini sedikit sebanyak dapat memberikan maklumat dan pengalaman yang berguna, sekali gus dapat mendatangkan impak yang besar terhadap hala tuju perlindungan sinaran di Malaysia.